Hari terakhir Kepengerusian ASEAN: Anwar kendali Sidang Kemuncak bersama China, New Zealand dan Australia

KUALA LUMPUR: Perjalanan panjang Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan kejayaan yang disifatkan sebagai cemerlang dan bersejarah, setelah dua hari Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung dengan penuh bermakna di ibu negara.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata tumpuan penutup hari ini ialah Anwar akan mempengerusikan beberapa sidang penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand dan Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5.

“Antara kemuncak perbincangan ialah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, yang bakal membuka ruang baharu dalam integrasi ekonomi serantau, perdagangan dan pembangunan mampan.

“Sidang hari ini akan diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta sesi penyerahan rasmi Kepengerusian ASEAN kepada Filipina bagi tahun 2026,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Malaysia turut menzahirkan sokongan penuh kepada Filipina yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan ASEAN, dengan harapan semangat perpaduan yang disemai di Kuala Lumpur akan terus subur dan memberi manfaat berkekalan kepada seluruh komuniti ASEAN.

“Semoga Allah terus memberkati usaha kita semua dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, hari kedua menyaksikan lima sidang utama dipengerusikan Anwar, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea, di mana Malaysia menggesa pengiktirafan terhadap Palestin dan menyambut baik Pelan Tindakan Kerjasama 2026–2030 yang bakal memperkukuh hubungan dua rantau.

Agenda ekonomi turut mendominasi perbincangan melalui Sidang Kemuncak ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dengan tumpuan kepada kerjasama dalam bidang ekonomi digital, tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan bagi memastikan pertumbuhan inklusif di Asia Pasifik.

Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang menghimpunkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Australia, Jepun, India dan New Zealand turut diiktiraf sebagai platform utama menangani isu-isu strategik serantau.

“Lebih bermakna, EAS kali ini diadakan di Kuala Lumpur, lokasi yang sama menjadi saksi kepada penubuhan forum tersebut dua dekad lalu,” katanya.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada badan dunia tersebut atas usaha berterusan dalam mencapai proses kedamaian di Palestin, di samping menegaskan sokongan terhadap semua inisiatif yang memperjuangkan keadilan rakyat Palestin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat