PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan sambutan Hari Wesak sebagai satu kesempatan memperkukuh nilai-nilai universal yang berteraskan belas, kerukunan dan kedamaian.
Dalam kenyataannya, beliau menekankan bahawa hari peringatan ini bukan sekadar acara keagamaan tetapi satu wadah menyemarakkan prinsip hormat dan kemajmukan dalam negara.
“Hari Wesak adalah peringatan penting terutamanya dalam mengangkat nilai-nilai universal yang mencakup persoalan serta prinsip belas, kerukunan dan kedamaian.
“Di Malaysia, sambutan Hari Wesak lantas mengajak serta menjentik nurani masyarakat untuk bersama menyemarak karamah insaniah dan menyuguh prinsip hormat yang tulus sesama insan di tengah kemajmukan.
“Justeru, saya menyeru semua kita untuk menyemangatinya demi negara yang berukun dan berpadu sambil mengekal tradisi dan budaya yang terangkum,” katanya.
Perdana Menteri berharap agar perayaan ini dijadikan landasan untuk masyarakat saling memahami, menghormati dan mengukuhkan ikatan persaudaraan merentasi perbezaan budaya dan kepercayaan.
Sambutan Hari Wesak di seluruh negara dijangka meriah dengan pelbagai acara keagamaan, perarakan serta aktiviti kebajikan.
Penganut agama Buddha akan mengambil peluang untuk melakukan amalan keagamaan seperti bersembahyang di kuil, bermeditasi dan menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.