PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa skuad kebangsaan Harimau Malaya akan menjadi tuan rumah bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang dinanti-nantikan sempena jendela FIFA September 2025.
Kuala Lumpur bakal menjadi pentas pertemuan penuh semangat menentang Singapura pada 4 September dan Palestin pada 8 September.
Kedua-dua perlawanan berlangsung di halaman sendiri, membuka peluang buat para penyokong menyemarakkan semangat kesukanan serta memberikan sokongan padu buat skuad negara.
“Kami amat berbesar hati kerana berjaya mengatur dua perlawanan berkualiti.
“Ia merupakan peluang luar biasa untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur.
“Singapura membawa cabaran serantau yang kompetitif dan penuh sejarah, manakala Palestin pula merupakan lawan taktikal yang berbeza serta merupakan pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia mengikut ranking FIFA.
“Kedua-dua perlawanan ini akan menjadi medan penting untuk menambah pengalaman serta memperkukuh kualiti pasukan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan Malaysia, Rob Friend.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan keputusan Malaysia menarik diri daripada Piala Negara-Negara CAFA.
“Keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan CAFA dibuat secara terperinci dan berpandukan pertimbangan strategik.
“Kami turut bekerjasama rapat dengan pihak CAFA bagi membantu mengenal pasti pengganti yang sesuai.
“Kami percaya adalah penting untuk bertindak secara profesional dan berintegriti demi memelihara hubungan baik dalam komuniti bola sepak antarabangsa,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkaitan waktu sepak mula dan pembelian tiket akan diumumkan tidak lama lagi.