KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menanti, skuad kebangsaan Harimau Malaya akhirnya kembali menyarung jersi berwarna biru sebagai kit ketiga rasmi musim 2025/26.
Pelancaran itu mencetuskan keterujaan peminat bola sepak tanah air yang menganggap warna biru sebagai simbol klasik dan penuh nostalgia.
Jersi baharu itu diperkenalkan oleh penaja rasmi, Puma, dengan rekaan moden yang menampilkan grafik tekstur halus serta logo Puma berwarna kuning di dada.
Lebih istimewa, bendera Malaysia digunakan sebagai lambang utama menggantikan logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menjadikan ia simbol kebanggaan nasional.
Kali terakhir Harimau Malaya memakai jersi biru ialah pada tahun 2018, ketika skuad negara beraksi dalam beberapa perlawanan antarabangsa.
Sejak itu, warna hitam menjadi pilihan utama sebagai ‘away kit’.
Kehadiran semula warna biru kini dianggap sebagai usaha menghidupkan semula tradisi lama sambil memberi wajah segar kepada pasukan.
Pelancaran kit ini mendapat sambutan hangat di media sosial dengan ramai peminat menyatakan rasa bangga melihat skuad negara kembali kepada warna yang sinonim dengan semangat juang Harimau Malaya.
Ada yang mengaitkan jersi biru dengan era kegemilangan skuad kebangsaan termasuk kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki 2010.
Jersi ketiga ini sudah mula dipasarkan oleh Puma Malaysia dan pengedar rasmi dengan versi rekaan khas turut ditawarkan oleh jenama tempatan sebagai edisi inspirasi.
Ia melengkapkan set bersama jersi utama berwarna kuning dan jersi kedua berwarna hitam yang dilancarkan lebih awal tahun ini.








