Harimau Malaya Naik Ke Tangga ke-125 Dunia

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah baharu apabila melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-125 dalam ranking dunia terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)

Ia menyamai pencapaian terbaik negara yang kali terakhir dicapai pada tahun 2006.

Perkembangan membanggakan itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman rasmi Facebook mereka, hari ini.

“Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 125 dunia, berjaya melonjak naik enam anak tangga berbanding 131 pada kemas kini terdahulu, 3 April 2025,” katanya.

Hasil semakan, lonjakan kedudukan ini merupakan antara pencapaian terbaik dalam tempoh dua dekad.

FAM turut memaklumkan bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya mengumpul 1138.48 mata, sekali gus melonjakkan Malaysia ke kelompok 125 terbaik dunia.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini termasuk kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 serta keputusan mengejut seri 1-1 menentang Cape Verde, pasukan yang berada di ranking ke-72 dunia, dalam aksi persahabatan Tier 1.

Pencapaian itu dijangka menjadi pembakar semangat buat Harimau Malaya menjelang perlawanan penting akan datang, selain memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas bola sepak antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat