Harimau Malaya Tutup 2025 Tanpa Kalah Dalam Kelayakan Piala Asia

HARIMAU Malaya menutup tahun 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Nepal 1-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Namun, kemenangan itu tidak datang dengan mudah selepas skuad negara menerima tamparan awal apabila bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi terpaksa dikeluarkan seawal minit kesembilan akibat kecederaan, digantikan oleh Faisal Halim.

Ketiadaan Arif memberi kesan kepada jentera serangan negara dengan beberapa percubaan gagal menemui sasaran. Antara peluang awal termasuk rembatan Safawi Rasid pada minit ke-21 yang ditepis penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu serta dua lagi percubaan masing-masing oleh La’vere Corbin Ong dan Dion Cools.

Stadium akhirnya bergema pada minit ke-55 apabila Faisal Halim, pemain gantian yang masuk lebih awal menyempurnakan hantaran kemas Safawi untuk meletakkan Harimau Malaya di depan.

Namun suasana perlawanan sedikit tegang beberapa minit kemudian apabila Ultras Malaya mengangkat kain rentang dan menyanyikan lagu yang mengecam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dipercayai berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan yang masih belum selesai di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Nepal yang cuba bangkit pada penghujung permainan berdepan kesukaran selepas Laken Limbu dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan kerana mengasari Harith Haiqal di dalam kotak penalti.

Insiden itu turut menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia namun Paulo Josue gagal mengambil kesempatan apabila sepakannya tinggi melepasi palang.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan, menjadikan Malaysia terus unggul di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata penuh selepas lima perlawanan.

Skuad kendalian Cklamovski akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam pada 31 Mac depan dalam aksi yang juga bakal menentukan hala tuju tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Walaupun prestasi di atas padang meyakinkan, penyokong tetap bimbang menantikan keputusan AFC mengenai status dokumentasi tujuh pemain warisan yang boleh memberi impak kepada kelayakan Malaysia dalam kempen ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat