Hasil Kukuh Tatakelola, Rampasan Dan Penalti Cecah RM15.5 Bilion – Anwar

PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan memilih untuk memperkukuh tatakelola dan memperkemas penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat, berbanding mengenakan cukai tambahan bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan bantuan rakyat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata langkah itu telah membuahkan hasil melalui usaha pembanterasan rasuah, kawalan penyeludupan serta pemecahan monopoli kartel yang selama ini menjejaskan ekonomi negara.

“Sejak di bawah pentadbiran Madani, badan-badan penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion,” katanya.

Anwar turut memaklumkan kejayaan terbaru PDRM menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, yang disifatkan sebagai bukti keberkesanan agenda tatakelola kerajaan.

“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak kini dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion,” katanya, sambil menegaskan bahawa ketirisan seperti itu berlarutan sekian lama akibat kelemahan penguatkuasaan dan ketiadaan tekad politik.

Mengutip kata-kata ahli falsafah Perancis, Montesquieu – “Kuasa tanpa pertanggungjawaban adalah permulaan kepada kezaliman” – Perdana Menteri menegaskan bahawa prinsip akauntabiliti menjadi tunjang pemerintahan Madani.

Bagi memperkukuh lagi keupayaan agensi penguatkuasaan, kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta pada tahun hadapan untuk latihan serta perolehan aset bagi SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC.

Beliau menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan usaha membanteras rasuah dan menegakkan tatakelola baik terus diperkasa, demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat