Hasil Laut Bernilai Tinggi Dirampas, Nelayan Tempatan Disiasat

LUMUT: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas didapati beroperasi melanggar syarat sah lesen di perairan negeri itu pada 8 Februari lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) TUGAU ketika rondaan rutin sekitar pukul 6.45 petang, kira-kira 6.4 batu nautika barat Pulau Dua.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh empat kru warga tempatan termasuk tekong dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen yang sah.

“Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut lebih RM800,000 ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Negeri Perak tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, malah tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil mengikut peruntukan sedia ada.

“Ini sebagai peringatan kepada komuniti maritim khususnya nelayan tempatan supaya mematuhi sepenuhnya undang-undang yang termaktub di perairan negara,” tambah beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim digesa menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi tindakan segera.

Anda Mungkin Berminat