Hassan Tempelak Desakan Hamzah, ‘Bukan Masa Gugat PM, Fokus Selamat Rakyat Malaysia’

KUALA LUMPUR: Ketika negara sedang bertungkus-lumus memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tampil menempelak tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan dalam satu perhimpunan di ibu negara, Sabtu lalu.

Hassan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kegagalan memahami keutamaan nasional pada saat genting.

“Kalau pun nak jatuhkan kerajaan, bukan pada waktu ini.

“Ketika ini, 23 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla telah ditahan rejim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sebagai seorang Ketua Pembangkang, Hamzah seharusnya bertindak sebagai negarawan bukan pencetus polemik dengan menyokong usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.

“Fokus utama beberapa hari ini ialah pembebasan 23 rakyat Malaysia itu.

“Anwar Ibrahim telah melakukan sebaik mungkin untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke tanah air,” katanya.

Hassan turut memuji kejayaan diplomasi Wisma Putra yang menyaksikan kesemua sukarelawan Malaysia selamat tiba di Istanbul, Türkiye, sebagai bukti pendekatan Anwar dalam politik luar negara berjaya melindungi kepentingan rakyat dan mengangkat imej Malaysia di mata dunia.

Dalam menghadapi ancaman luar seperti Israel, Hassan menyeru agar politik domestik diketepikan buat sementara demi menjaga nyawa rakyat dan maruah negara.

“Prinsipnya mudah apabila kita berdepan musuh luar, semua pihak mesti bersatu.

“Dalam hal 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel, nyawa mereka perlu diselamatkan terlebih dahulu. Itulah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa selepas isu kemanusiaan ini selesai, Ketua Pembangkang bebas untuk mengkritik kerajaan termasuk berhubung isu kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia atau pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 6 Oktober ini.

“Namun, Ketua Pembangkang (Hamzah) perlu akur bahawa dalam keadaan genting dan menyentuh nyawa rakyat, Perdana Menteri telah lulus ujian itu dengan cemerlang,” tambahnya.

Hassan turut menyarankan agar Hamzah menunjukkan kematangan politik dengan mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan diplomasi tersebut.

“Sudah tiba masanya Ketua Pembangkang menunjukkan adab politik yang tinggi dengan mengiktiraf usaha kerajaan membebaskan rakyatnya.

“Itu tanda jiwa besar seorang pemimpin,” katanya.

Anda Mungkin Berminat