Hayati erti madrasah ruhiyyah, PM ajak rakyat fahami makna sebenar ungkapan maaf zahir dan batin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat menghayati erti kemenangan dalam Ramadan yang menjadi ‘madrasah ruhiyyah’ sekali gus meninggalkan amalan dan budaya lama yang merosakkan. 

Katanya, dalam usaha untuk mencapai kejayaan itu, harus mempunyai semangat tinggi kerana setiap perjuangan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan perancangan teliti agar mampu mengimbangi segala aspek kenegaraan. 

“Kegopohan menjanjikan kegagalan dalam pentadbiran kerajaan hari ini, kita mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindar yang mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.

“Kita tidak menuntut semata-mata, perakuan dan kepujian malah teguran dan kritikan yang membina juga amat diperlukan dalam negara. Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya ‘karamah insaniah’ diperteguh,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H pada Rabu. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengajak umat Islam supaya mengambil peluang Aidilfitri ini sebagai ruang terbaik untuk saling memohon kemaafan sekiranya berlaku ketelanjuran dan kesilapan.

Perdana Menteri turut mengajak umat Islam supaya mengambil peluang Aidilfitri ini sebagai ruang terbaik untuk saling memohon kemaafan sekiranya berlaku ketelanjuran dan kesilapan.

Beliau menyifatkan ungkapan ‘Maaf Zahir dan Batin’ sering diucapkan setiap kali sambutan 1 Syawal sebagai tradisi istimewa rakyat Malaysia yang tidak diamalkan oleh umat Islam di negara lain.

“Ini tonggak mesej Islam itu sendiri, berjumpa bermaaflah. Kita semua lakukan kesalahan kesilapan. Jangan kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa kita sudah sempurna.

“Ada keterlanjuran, ada kata-kata kesat, ada kemarahan. Maka ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan yang terpancar dari hati nurani,” katanya.

Anwar juga memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia sekiranya ada keterlanjuran kata, kesilapan bahasa ataupun yang telah menyentuh perasaan.

“Kita doa supaya kita punya kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan. Malaysia mesti terus kuat dan makmur,” katanya yang turut mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh umat Islam.

“Mereka yang melakukan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman juga dinasihati supaya memandu dengan cermat dan ingat kepada yang tersayang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat