Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyeru rakyat Malaysia untuk menghayati kepada prinsip-prinsip rukun negara.
Menerusi kenyataan media pada Selasa, Dr Zulkifli berkata ia demi perpaduan terus menjadi asas kekuatan negara selari dengan titah serta nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar rakyat memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Kata beliau, kemakmuran ekonomi serta kemasukan pelaburan yang dinikmati negara ketika ini adalah hasil daripada keharmonian antara kaum dan kestabilan politik yang berpandukan kepada nilai-nilai terkandung dalam Rukun Negara.
“Rakyat perlu mensyukuri nikmat keamanan dan kestabilan yang dikurniakan serta berdoa agar Malaysia terus terpelihara daripada pelbagai krisis global yang sedang dihadapi negara lain,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Sultan Ibrahim turut mengukuhkan pendirian yang sebelum ini disuarakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kepentingan memelihara hubungan antara kaum dan perpaduan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat meneliti dan menghayati titah Yang di-Pertuan Agong serta menjadikan Rukun Negara sebagai panduan dalam memperkukuh perpaduan dan memacu kemajuan negara.
Baca juga:








