Helang Putih Jadi Maskot Rasmi SUKMA, Para SUKMA Selangor 2026

PETALING JAYA: Selangor memperkenalkan maskot rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA 2026 iaitu sepasang helang putih yang gagah dan bersemangat, direka dalam bentuk jantina lelaki dan wanita yang seimbang serta serasi.

Pemilihan helang putih sebagai maskot bukan sekadar pilihan estetik tetapi sarat dengan makna simbolik iaitu melambangkan kekuatan, semangat belia dan aspirasi tinggi negeri Selangor sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar negara.

“Helang putih membawa maksud kekuatan, semangat juang dan kebanggaan negeri.

“Ia juga menjadi lambang semangat anak muda yang ingin menggapai kejayaan,” menurut Facebook rasmi SUKMA Selangor 2026.

Maskot direka sebagai pasangan lelaki dan wanita yang berpakaian sukan berwarna merah dan kuning iaitu warna rasmi negeri Selangor.

Reka bentuk ini menekankan kesaksamaan gender dan semangat inklusif dalam dunia sukan.

“Watak lelaki kelihatan lebih gagah dan segar, manakala watak wanita tampil dengan imej aktif dan ceria,” jelasnya.

Pakaian maskot menyerlahkan identiti negeri Selangor melalui warna merah dan kuning, lengkap dengan bendera negeri yang dikibarkan megah.

“Maskot ini bukan sahaja mewakili semangat sukan tetapi juga menjadi lambang kebanggaan rakyat Selangor,” tambah kenyataan itu.

Dengan pelancaran maskot ini, SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dijangka menjadi medan bukan sahaja untuk pencapaian atletik tetapi juga untuk meraikan perpaduan, semangat belia dan kebanggaan negeri.

Anda Mungkin Berminat