Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kesemua perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak kira keanggotaan serta jawatan diseru untuk ketepikan pergolakan sesama sendiri dan kembali bersama wujudkan reformasi kepedulian demi mengaut kembali kepercayaan rakyat di Malaysia terhadap parti itu.
Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyuarakan gesaan itu ketika berucap di Program Temu Rapat Akar Umbi di Kuala Lumpur pada Khamis dan berkata isu-isu kerakyataan seperti kemiskinan, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan sebagainya sememangnya perlu diutamakan namun ia memerlukan penglibatan terhadap semua anggota PKR seluruhnya.
“Anggota-anggota parti dan cabang khususnya, andalah mata-mata dan pemberi maklumat kepada pimpinan pusat, kerana tidak semua kami tahu, biar menteri buat kerja kabinet mereka.
“Kita fokus kita (PKR) dan perlukan ruang untuk memperkukuhkan perjalanan parti.
“Jadi saya nak mohon, kita boleh lakukan ini tapi kita perlu bersama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan parti untuk mempertahankan dan memenangi kerusi tidak akan tercapai tanpa komitmen dan perpaduan oleh akar umbi.
“Kita nak pertahan apa-apa pun, nak menang kerusi pun kalau cabang tak pertahan kita nak menang apa.
“Kita sedang berdepan dengan serangan melalui media sosial, kita kena bersatu untuk biar rakyat melihat kita sebagai pilihan parti yang mereka boleh percaya,” ujarnya.
Tegas beliau, sudah tiba masanya untuk kesemua ahli bertempur dan lawan bersama terhadap entiti yang benar menjadi perosak kepada negara dan bukannya parti dalaman sendiri.
“Jadi kita kena lakukan sedaya upaya mungkin, nak gerakkan kesemua aset golongan parti dan rakyat kena pujuk semua orang untuk memenangi hati rakyat,” kata Nurul Izzah.
Untuk rekod, pada kali ini kerusi Timbalan Presiden PKR menjadi rebutan antara penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor dengan pemilihan pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei.