PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mahfuz Omar menggesa Kerajaan Negeri Kelantan agar menghentikan retorik politik lama dan segera memberi tumpuan kepada pembangunan industri sebenar negeri itu khususnya dalam pengurusan hasil bumi seperti unsur nadir bumi (REE).
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang sering mencetuskan kebimbangan terhadap Perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat sebagai tidak berasas dan berpunca daripada kekeliruan fakta.
“Lucu juga bila kerajaan negeri yang masih gagal urus sampah, air dan banjir, tiba-tiba mahu bercerita tentang kedaulatan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mahfuz menjelaskan bahawa perjanjian tersebut tidak melibatkan penjualan REE kepada Amerika, sebaliknya adalah kerjasama pelaburan dan teknologi untuk memproses bahan tersebut di dalam negara selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan pendirian kerajaan Kelantan sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa hak negeri terhadap REE kekal dilindungi oleh Perlembagaan dan tidak pernah disentuh oleh perjanjian berkenaan.
Sebaliknya, Mahfuz menyifatkan naratif yang dibawa oleh pembangkang bahawa hasil negeri akan dirampas sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.
“Hasil ada, tapi pengurusan tiada. Yang menakut-nakutkan rakyat kononnya hasil negeri akan dirampas hanyalah usaha mengalih perhatian daripada kelemahan sebenar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan Kelantan mula membangunkan pelan industri yang mapan dan berasaskan potensi sebenar negeri, bukan terus terperangkap dalam skrip politik lama yang tidak membawa kemajuan.








