Henti Naratif Kebencian Terhadap Pelarian Rohingya — ABIM

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru masyarakat agar menghentikan penyebaran naratif kebencian terhadap komuniti pelarian Rohingya, yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, retorik kebencian yang menggalakkan orang ramai mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Rohingya jelas bercanggah dengan prinsip undang-undang, nilai kemanusiaan dan ajaran Islam.

“Seruan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan prinsip undang-undang dan kemanusiaan, malah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Islam mengajar kita untuk menegakkan keadilan serta memelihara kemuliaan setiap insan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Fahmi berkata, penyebaran naratif kebencian tidak boleh dibiarkan kerana ia berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Pada masa sama, beliau mengakui keresahan rakyat terhadap isu keselamatan, ekonomi dan peluang pekerjaan yang dikaitkan dengan pelarian tidak boleh dipandang ringan.

“Kebimbangan ini tidak wajar dipandang ringan atau diketepikan begitu sahaja.

“Ia perlu ditangani secara serius melalui dasar yang lebih tersusun, berkesan dan berteraskan undang-undang,” katanya.

Namun ABIM berkata, keresahan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk membenci kerana sikap itu hanya akan memburukkan keadaan.

Fahmi mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya berlaku adil dalam menilai sesuatu isu dan tidak menghukum secara kolektif terhadap keseluruhan kelompok atas kesalahan segelintir individu.

“Menyalahkan keseluruhan kelompok atas kesalahan segelintir bukan sahaja tidak adil, malah hanya akan menambahkan lagi ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

ABIM turut menekankan bahawa golongan pelarian termasuk etnik Rohingya, merupakan kelompok tertindas yang melarikan diri daripada penindasan dan ancaman keselamatan di negara asal mereka.

Anda Mungkin Berminat