Henti polemikkan isu pelajar cemerlang STPM tak dapat tempat di UM’ – Zambry

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Semua pihak diseru hentikan perdebatan berhubung isu pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didakwa gagal mendapat tempat di Universiti Malaya (UM) meskipun mendapat keputusan membanggakan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Menerusi rakaman video pada Rabu, Zambry berkata, isu berkenaan telah menjadi perbualan hangat di seluruh media sosial sehinggakan memberi tekanan yang tidak sewajarnya kepada pelajar terbabit.

“Kita perlu faham bahawa apabila isu ini menjadi isu ‘public’, maka pelbagai komen akan muncul ada yang positif dan ada yang negatif ….. dan semua ini akan menjadi tekanan kepada pelajar tersebut dan kita amat simpati dengan keadaan yang beliau hadapi,” katanya.

Maka dengan itu, Zambry menyarankan agar semua pihak mengambil pendekatan yang lebih berhemah dengan memberi ruang kepada proses perbincangan secara terus bersama pihak-pihak yang berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti terbabit.

“Saya telah memaklumkan kepada pegawai-pegawai saya agar segera menjalankan proses libat urus dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk individu yang membawa isu itu ke perhatian umum bagi mendapatkan penjelasan yang lebih jelas dan menyeluruh,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa KPT sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan pandangan yang membina demi kebaikan sistem pendidikan tinggi negara.

“Kita tidak apa-apa yang mahu disembunyikan, jika ada cadangan yang baik, kita alu-alukan.

“Pendekatan terbuka itu yang kita amalkan. samada di Parlimen atau dalam sesi pertanyaan awam,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa kemasukan ke universiti awam sememangnya melibatkan proses persaingan yang amat kompetitif, serta perlbagai saluran yang ditawarkan terbuka sekiranya pelajat tidak berjaya menerusi saluran perdana.

“Isu seperti surat tawaran yang dikatakan dikeluarkan, tetapi tidak dapat kursus menerusi saluran utama, semua itu boleh dibincangkan. Universiti Malaya juga telah menyatakan kesediaan untuk memberi penjelasan,” katanya lagi.

Terdahulu, Edward Wong yangmemperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan(STPM) lalu kecewa apabila permohonannya ditolak oleh Universiti Malaya (UM).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama Wong mengadakan sidang media pada Selasa dan mempersoalkan perkara itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat