Henti Politik Isu Tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan – AMANAH Perak

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa agar semua pihak menghentikan eksploitasi politik berhubung isu pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, yang dilaporkan telah bertukar milik kepada individu bukan Islam.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyokong penuh langkah segera yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perak serta Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) untuk menebus semula tanah berkenaan demi memastikan kelangsungan institusi masjid.

“Isu ini seharusnya menjadi medan muhasabah, bukannya dijadikan alat untuk mencetuskan kebencian atau perpecahan dalam masyarakat,” tegas beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat sedia ada, tanah tersebut bukan dirampas atau diambil paksa, sebaliknya telah dijual oleh waris pewakaf.

Justeru, katanya, penyelesaian perlu digerakkan secara kolektif dan bukannya melalui tuduhan melulu.

“Pemuda AMANAH Perak turut menekankan keperluan mendesak agar semua institusi Islam yang berada di atas tanah wakaf termasuk masjid, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan segera mendaftarkan hak milik mereka di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Pendaftaran ini adalah satu-satunya cara sah untuk memastikan tanah tersebut dilindungi daripada sebarang pemindahan tidak sah atau pelanggaran terhadap niat pewakaf,” ujar beliau.

Menurut Khairol Najib lagi, pihaknya turut menyokong cadangan agar sistem pendaftaran tanah wakaf di negeri itu dipermudah dan ditambah baik, menerusi kerjasama erat antara JAIPk, pejabat tanah dan MAIPk.

Beliau menekankan pentingnya penguatkuasaan dan pemantauan berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“Pemuda AMANAH Perak juga menyambut baik inisiatif Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Perak yang tampil menawarkan bantuan undang-undang dan nasihat berkaitan isu tersebut yang disifatkan sebagai contoh semangat kerjasama profesional dalam mempertahankan institusi wakaf,” tambahnya.

Mengakhiri kenyataan, Khairol Najib menyeru umat Islam agar bersatu mempertahankan maruah dan fungsi masjid melalui tindakan kolektif yang sedar dan bertanggungjawab, bukannya dengan retorik politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Terdahulu, masjid tersebut memerlukan dana sebanyak RM1.8 juta untuk menyelamatkan tanah wakafnya.

Pengurus masjid, Yusuf Majid berkata, pihaknya memohon bantuan daripada umat Islam khususnya di negeri tersebut untuk bersama-sama menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan yang kini telah dimiliki oleh individu bukan beragama Islam.

Difahamkan, kemelut itu berlaku berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.

Terkini, sumbangan orang ramai untuk menebus semula sebahagian tanah masjid itu dilaporkan telah mengumpul hampir RM2 juta dalam tempoh kurang 36 jam selepas kutipan dilancarkan.

Yusuf Majid berkata, jumlah keseluruhan kutipan ialah RM1,977,482.20.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat