PETALING JAYA: Polemik penjenamaan semula Tabung Haji (TH) perlu ditangani dengan bijak tanpa menjejaskan maruah institusi itu, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau menegaskan, Tabung Haji bukan sekadar institusi kewangan, tetapi lambang kepercayaan lebih sembilan juta pendeposit yang menabung demi menunaikan ibadah haji.
“Setiap keputusan mesti memelihara sensitiviti majoriti pendeposit dan menjaga maruah agama. Identiti Islam Tabung Haji perlu kekal utuh walaupun ada usaha memperkukuh daya saing dan imej global,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, cadangan kerjasama dengan agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) suatu ketika dahulu membuktikan bahawa pemerkasaan ekonomi Bumiputera boleh berjalan seiring dengan pengukuhan institusi Islam.

Beliau turut merujuk sejarah pentadbiran Islam yang meraikan kepakaran luar dalam aspek teknikal, namun tetap menjaga dasar dan imej agama di bawah kawalan umat Islam sendiri.
“Islam mengiktiraf kepakaran bukan Muslim dalam hal teknikal, tetapi urusan dasar dan identiti agama mesti kekal dipegang oleh Muslim,” ujarnya.
Zulkifli berharap agar isu ini tidak dijadikan medan perseteruan politik, sebaliknya diselesaikan secara harmoni dengan mengutamakan suara pendeposit.
Tabung Haji yang diasaskan pada 1963 hasil ilham Profesor Diraja Ungku Aziz kekal menjadi institusi kebanggaan umat Islam Malaysia, dengan penjenamaan semula terakhir dilakukan pada 2012.
Baca juga: