Hero penyelamat di sebalik kebakaran saluran gas di Putra Heights

PETALING JAYA: Dalam insiden kebakaran saluran gas yang menggemparkan di Putra Heights, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam operasi memadamkan api yang marak.

Menerusi satu hantaran di TikTok oleh pemilik akaun @panglima_sungai, yang merupakan salah seorang anggota bomba bertugas, beliau meluahkan rasa syukur atas kerjasama pelbagai pihak dalam operasi tersebut.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama dari semua agensi kita berjaya.

“Semoga mangsa tabah dengan ujian yang berlaku dan moga digantikan dengan rezeki yang melimpah nanti, inshaAllah,” katanya.

Kebakaran yang berlaku di kawasan saluran paip gas itu mencetuskan suasana panik, namun tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengawal keadaan.

Api yang marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah celsius menjadi cabaran besar buat pasukan bomba.

Namun, mereka tetap tangkas dan cekal dalam memastikan keselamatan penduduk sekitar.

Di ruangan komen TikTok, ramai pengguna meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada JBPM atas usaha mereka.

“Satu pengalaman yang cukup berharga untuk pasukan bomba. Susah nak jumpa kes luar jangkaan macam ni.

“Dalam latihan simulasi pun tak boleh nak buat sama macam situasi sebenar,” tulis seorang netizen.

Seorang lagi pengguna berkata, “Terima kasih tidak terhingga buat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana menjaga keselamatan rakyat walaupun sedang menyambut Aidilfitri.”

Anda Mungkin Berminat