Hidupkan MN, PAS Kena ‘Move On’ – KS

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: PAS disaran melupakan hasrat untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada strategi baharu parti itu.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menegaskan, langkah tersebut sudah tidak relevan dalam konteks politik semasa.

“Tambahan pula, dengan ahli biro politik masing-masing lebih cenderung kepada kepentingan peribadi untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), saya berpendapat perkara ini tidak mungkin berlaku,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap (KS) pada Selasa.

Pada 14 September lalu, PAS sekali lagi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO melalui MN dengan syarat kerjasama tersebut tidak melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa ia tidak lagi realistik. Kita sedar bahawa Ahmad Zahid kini memegang kedudukan yang sangat kukuh dalam UMNO, dengan pengaruh yang besar serta tiada pesaing yang nyata,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairy mencadangkan agar PAS memperkukuh strategi dalaman dan menampilkan kebolehan gabungan State Government 4 (SG4) yang diketuai oleh parti itu.

Menurutnya, PAS harus memberi fokus kepada pentadbiran negeri yang stabil serta membuktikan keupayaan mereka dalam melaksanakan dasar yang berkesan, selain menonjolkan barisan kepimpinan baharu.

Senada dengan Khairy, rakan podcastnya, Shahril juga memberikan pandangan supaya PAS ‘move on’ daripada hasrat itu.

“Kalau saya jadi penasihat PAS, saya akan berpendapat dengan KJ… ‘move on’ pasal MN ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat