Hilang Mandat Parti, Rafizi Umum Letak Jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri susulan kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Rafizi memaklumkan bahawa surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Perdana Menteri dan akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025, dengan beliau memulakan cuti tahunan mulai hari ini sehingga tarikh akhir perkhidmatan.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti untuk menterjemahkan agenda rakyat menjadi program kerajaan,” katanya.

Rafizi menyifatkan keputusan melepaskan jawatan sebagai selari dengan amalan demokrasi yang sihat, di mana pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti wajar memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Dalam tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi berkata pelbagai dasar dan program telah dirangka bersama Kementerian Ekonomi, termasuk penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang kini menunggu untuk dibentangkan di Parlimen.

Beliau berharap agar reformasi berani, khususnya dalam sektor pendidikan yang digariskan dalam RMK13, akan terus dikekalkan oleh kerajaan walaupun beliau tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri.

“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam,” tambah beliau.

Mengakhiri kenyataannya, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia, penjawat awam, sektor swasta dan pihak media yang telah bekerjasama dengannya sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Menteri Ekonomi.

Anda Mungkin Berminat