Hilangnya pejuang sejati, Nurul Izzah gesa percepat iktiraf hak tanah adat orang asal di Sarawak

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: “Agi Idup Agi Ngelaban,” laung Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah yang mahu supaya suara masyarakat orang asal di Sarawak terus dijulang dan dipertahankan.

Beliau merujuk isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih belum diberi pengiktirafan sepenuhnya, susulan kehilangan aktivis tanah adat iaitu Dennis yang disifatkannya sebagai pejuang sejati.

𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐢𝐧𝐢, 𝐤𝐢𝐭𝐚 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐥𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐩𝐞𝐣𝐮𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐞𝐣𝐚𝐭𝐢. 𝐃𝐞𝐧𝐧𝐢𝐬 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐡𝐞𝐦𝐛𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐧𝐚𝐟𝐚𝐬 𝐭𝐞𝐫𝐚𝐤𝐡𝐢𝐫𝐧𝐲𝐚 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐣𝐚𝐦 𝟔 𝐩𝐚𝐠𝐢, 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐥𝐢𝐥𝐢𝐧𝐠𝐢 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐤𝐞𝐥𝐮𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐦𝐚𝐧-𝐭𝐞𝐦𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐣𝐮𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧. 

𝐒𝐚𝐲𝐚 𝐫𝐚𝐤𝐚𝐦𝐤𝐚𝐧 𝐮𝐜𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐤𝐳𝐢𝐚𝐡 𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐬𝐞𝐥𝐮𝐫𝐮𝐡 𝐤𝐞𝐥𝐮𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐃𝐞𝐧𝐧𝐢𝐬. 𝐒𝐞𝐦𝐨𝐠𝐚 𝐫𝐨𝐡 𝐛𝐞𝐥𝐢𝐚𝐮 𝐝𝐢𝐜𝐮𝐜𝐮𝐫𝐢 𝐫𝐚𝐡𝐦𝐚𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐫𝐣𝐮𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐬𝐮𝐥𝐮𝐡 𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐠𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐭𝐚𝐧𝐠,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Menerusi kenyataan itu lagi, Nurul Izzah menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap perjuangan masyarakat Iban, Bidayuh, Penan, Orang Ulu dan pelbagai komuniti lain yang telah lama berakar di bumi Sarawak sejak turun temurun lamanya.

“Perjuangan Dennis dan tokoh-tokoh terdahulu seperti Harrison Ngau dan Allahyarham Bill Kayong wajar dikenang. Mereka tidak pernah gentar walau ditekan, tidak pernah diam walau diketepikan.

“Semangat ini terpancar dalam perjuangan mereka, tidak pernah gentar walau ditekan, tidak pernah diam walau diketepikan,” katanya.

Impak daripada keteguhan masyarakat itu, Izzah berpandangan bahawa perjuangan mereka wajar diteruskan demi mempertahankan NCR yang sekian lama menjadi sebahagian daripada jiwa serta sejarah rakyat Sarawak.

Jelas beliau, walaupun Mahkamah berulang kali mengiktiraf hak NCR sebagai hak warisan adat, namun pelaksanaannya dilihat amat tidak konsisten sehingga menyebabkan masyarakat orang asal Sarawak secara terus dihimpit cabaran besar dari sudut undang-undang, birokrasi dan kos guaman untuk mempertahankan semula hak mereka.

“Ladang sawit dan pembalakan terus berkembang di atas pengorbanan komuniti orang asal. Tanah disewa kepada syarikat besar tanpa rundingan dan pampasan sewajarnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan dapat mempercepatkan proses pengukuran serta proses pemberian millikan tanah NCR serta menghentikan pengeluaran lesen baharu ke atas status tanah yang masih dipertikaikan.

“Setiap pembangunan mesti dapat persetujuan bebas dan dimaklumkan daripada pemilik asal tanah, serta pampasan secara adil haruslah diberi kepada mana-mana komuniti yang telah terkesan atau kehilangan hak milik.

“Buat seluruh rakyat Malaysia, berdirilah bersama saudara-saudari orang asal di Sarawak.

“Jangan biar mereka berjuang seorang diri. Bersama kita pastikan agar suara mereka dapat didengari, hak mereka dilindungi, serta masa depan mereka terjamin,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat