Hilux terjun sungai, dua lelaki cedera

TAWAU: Sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam sungai di Batu 2, Jalan Apas, di sini awal pagi tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melalui talian MERS999 pada pukul 5.29 pagi.

Pasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, yang terdiri daripada lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS.

Mengikut laporan PBK I KUP Zourgana Konin, selaku Komander Operasi, terdapat dua orang lelaki dewasa berusia 31 dan 32 tahun yang terlibat dan mengalami kecederaan.

“Mangsa pertama telah dikeluarkan oleh orang awam dan diangkat ke tebing sungai sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Manakala, mangsa kedua iaitu pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba,” katanya.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital dengan menaiki kenderaan Unit EMRS dan ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.04 pagi setelah semua tindakan yang diperlukan selesai dilaksanakan.

Anda Mungkin Berminat