Oleh: Tyah Helmi
LOS ANGELES: Dunia Hollywood menjadi saksi sebagai tempat berkumpulnya seluruh pencipta kandungan daripada pelbagai bidang termasuk tarian, muzik, sukan, fesyen, hiburan dan pendidikan dari seantero dunia sempena penganjuran Anugerah TikTok Amerika Syarikat yang pertama.
Memetik Reuters, himpunan penuh temasya itu bakal disiarkan secara langsung menerusi TikTok dengan menampilkan pelbagai segmen hiburan termasuk pelancaran patung Labubu menggunakan T-shirt, cabaran swafoto berskala besar, sketsa serta lakonan semula detik tular.
Pada majlis tersebut, Keith Lee dinobatkan sebagai “Pencipta Terbaik Tahun Ini”, manakala Bretman Rock menerima anugerah “Video Terbaik Tahun Ini”.

Lee, yang terkenal dengan kandungan berkaitan keluarga dan perniagaan kecil, berkata platform TikTok memberinya ruang untuk menonjolkan perniagaan kecil di seluruh negara ketika menerima anugerah berkenaan.
“Sukar untuk melakukan sesuatu untuk diri sendiri kerana saya sentiasa mengutamakan orang lain, namun anugerah ini adalah untuk saya,” katanya pada Jumaat.
Antara penerima anugerah lain ialah penyanyi, DJ Paris Hilton yang memenangi “Muse Tahun Ini” atas inspirasi yang diberikan kepada pengguna lain, serta Jeremiah Brown, bekas peserta rancangan Love Island USA, yang dinobatkan sebagai “Bintang Meningkat Tahun Ini”.
Menjelang penghujung majlis, penyanyi pop pemenang Anugerah Grammy, Ciara, membuat persembahan medley lagu popularnya termasuk Goodies, 1, 2 Step dan Level Up.
Penganjuran anugerah itu turut dilihat sebagai pencapaian penting buat TikTok susulan pengumuman syarikat induknya dari China, ByteDance, bahawa perjanjian telah dimeterai dengan tiga pelabur utama untuk menjual lebih 80 peratus aset TikTok di Amerika Syarikat (AS) kepada pelabur Amerika dan global, bagi mengelakkan larangan oleh kerajaan negara itu.
Baca juga:








