Himpunan tidak jatuhkan Anwar selagi majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokong

Oleh: Datuk A Kadir Jasin

ULASAN | Dr Mahathir Mohamad menyatakan sesuatu yang hakikat (obvious) apabila beliau berkata, Perdana Menteri boleh dijatuhkan tanpa menunggu pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri itu dipetik sebagai berkata demikian ketika berucap di Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar, pada 17 Julai.

Pilihan Raya Umum (PRU) kita bukan untuk memilih Perdana Menteri atau parti. Ia adalah untuk memilih Ahli Dewan Rakyat. Daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat itulah dipilih seorang untuk menjadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri boleh dipecat dan digantikan pada bila-bila masa atas kehendak majoriti Ahli Dewan Rakyat atau kerana melakukan jenayah besar.

Itulah yang berlaku kepada Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), pada tahun 2020. Beliau jatuh apabila majoriti Ahli Dewan Rakyat dari parti beliau sendiri, Bersatu, berpaling tadah dan bersekongkol dengan Pas serta Umno.

Beliau digantikan oleh Muhyiddin Mohd Yassin. Tujuh belas bulan kemudian, giliran Muhyiddin pula jatuh akibat pengkhianatan Umno.

Dengan tipu helah itu, Umno kembali menduduki kerusi Perdana Menteri melalui Ismail Sabri Yaakob.

Anwar tidak menang PRU 2022. PH yang dipimpinnya tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. Sekali lagi Umno belot dengan memberi sokongan kepada PH dan Anwar. Hasilnya, Anwar ada cukup kerusi untuk tubuh kerajaan dan jadi Perdana Menteri.

Umno yang berkempen atas slogan “No Bersatu, no Anwar, no DAP” dapat kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dapat DNAA ke atas 47 kes prima facie.

Natijahnya, menaikkan dan menjatuhkan Perdana Menteri tanpa melalui proses pilihan raya bukanlah perkara luar biasa.

Kempen “Turun Anwar” yang sedang berjalan sekarang, dengan sendirinya, tidak akan menjatuhkan Anwar. Beliau pun sudah kata, beliau tidak akan turun sebab beliau tidak curi duit rakyat.

Sehingga PRU diadakan, hanya ada satu cara menurunkan beliau iaitu dengan menghapuskan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepadanya.

Kalau sesiapa atau mana-mana pihak boleh membuktikan secara sahih yang mereka mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 112 orang Ahli Dewan Rakyat maka jatuhlah Anwar.

Tetapi kalau betullah cakap Ahmad Zahid Hamidi, hendak jatuhkan Anwar melalui undi Dewan Rakyat adalah sukar, kalau pun tidak mustahil. Presiden Umno itu dilaporkan berkata pada 13 Julai, Anwar mempunyai 154 sokongan ahli dewan.

Jelajah “Turun Anwar” lebih relevan kepada penentang-penentang beliau sebagai persediaan menghadapi PRU yang wajib diadakan sebelum 17 Februari 2028.

Saya tidak menjangka Anwar akan mengambil tindakan keras terhadap mereka, termasuk ‘feksyen’ Mohd Rafizi Ramli.

Tindakan keras boleh menjatuhkan lagi imej Anwar sebagai seorang refomis dan menambahkan simpati dan sokongan orang ramai kepada pembangkang.

=Namun, ini tidak bermakna aparatus negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan bertindak.

Kesimpulannya, segala perhimpunan, tunjuk perasaan dan perarakan tidak akan menjatuhkan Anwar selagi majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokong beliau.

Tetapi kalau perhimpunan, tunjuk perasaan dan perarakan itu menyebabkan penyokong beliau di Parlimen berpaling tadah, kemungkinan beliau hilang majoriti dan terpaksa meletakkan jawatan tidak boleh ditolak bulat-bulat.

***Penulis adalah Tokoh Wartawan Negara dan sentiasa menulis mengenai isu semasa di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat