Hipokrasi individu, persoal Kerajaan tapi beri data di media sosial – Pakar


Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Sikap selektif segelintir individu yang lebih bimbang terhadap pengumpulan data oleh kerajaan, namun dalam masa sama memberikan data tanpa sedar di media sosial dipersoalkan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Selvakumar Manickam berkata ragam sebegitu mendedahkan hipokrasi dalam kalangan masyarakat kita sendiri.

Menurutnya lagi kepercayaan terhadap syarikat teknologi gergasi seperti Meta, Google dan Apple yang mengumpul data pengguna secara terperinci untuk tujuan komersial juga tidak jadi masalah buat golongan ini.

“Majoriti rakyat Malaysia berkongsi data peribadi mereka secara terbuka di media sosial termasuk lokasi, rutin harian dan maklumat anak-anak. Namun, perhatian terhadap eksploitasi data oleh syarikat luar masih terlalu rendah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis IPv6 APAC dan Pakar Keselamatan Siber, Prof Emeritus Dr. Sureswaran Ramadass, menjelaskan bahawa data yang dikumpulkan di bawah program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) adalah berbentuk agregat, tanpa identiti peribadi dan tidak boleh dijejak kepada individu lain.

“Data ini digunakan untuk menilai liputan rangkaian, kepadatan peranti dan kesediaan semasa bencana. Ia tidak melibatkan nama, nombor telefon atau kandungan mesej,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa program ini mematuhi undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan tidak digunakan untuk tujuan komersial atau pemantauan individu.

“Kepercayaan awam perlu dibina melalui ketelusan dan fakta, bukan melalui ketakutan terhadap naratif yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pakar menyokong penyertaan awam dalam perbincangan dasar dan menggesa agar orang ramai mampu membezakan antara spekulasi dan fakta, serta tidak terus menyamakan usaha kerajaan dengan pencerobohan privasi.

Untuk rekod, Program Data Telefon Bimbit ini juga bukanlah satu bentuk pengintipan, sebaliknya adalah alat penting untuk membina infrastruktur digital yang lebih mantap dan responsif.

Rakyat diseru untuk bijak menilai isu data secara adil kerana keselamatan digital negara memerlukan pemahaman dan kerjasama semua pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat