GABUNGAN empat penyanyi legenda rock, Datuk Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali akan menghiburkan peminat hiburan dengan Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat pada 1 Februari di The Star Theatre, Singapura.
Penganjurnya, MUSE+ menyifatkan konsert ini nanti bakal membangkitkan semangat ‘otai’ yang akan ‘menyengat’ peminat rock di atas satu panggung.
“MUSE+ dengan penuh teruja dan bangga membuka tahun 2025 menerusi Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat yang julung kali diadakan untuk memberi pengalaman istimewa kepada penonton dengan membangkitkan nostalgia serta bagaimana muzik mampu menyatukan hati dan jiwa semua generasi.
“Signifikan dengan konsep yang dibawakan iaitu Hitster dan Otai Sangat Menyengat maka Datuk Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali adalah vokalis paling layak mengisi konsert edisi perdana ini,” kata Atrez, Pengarah Urusan MUSE+.
Menurutnya, berdasarkan karya-karya hit yang telah dinyanyikan lalu menjadi pujaan peminat meski zaman berubah.
“Tanyalah siapa yang tidak pernah mendengar lagu Pada Syurga Di Wajahmu (Nash), Tak Mungkin Berpaling (Zamani), Sampai Hati (Ameng Spring) atau Khayalan (Jatt Ali Black Dog Bone), kami di MUSE+ percaya peminat muzik pasti pernah mendengar atau mungkin sangat meminati lagu-lagu ini,” ujarnya sambil tersenyum.
Katanya, harga tiket bermula RM439.92 (GOLD), RM574.59 (Platinum), RM664.37 (Diamond), RM1,113.27 (VIP dan Meet & Greet).
Bagi peminat yang tidak sabar menikmati persembahan Nash, Zamani, Jatt Ali dan Ameng Spring, jangan lupa dapatkan tiket menerusi pembelian di WWW.STARTIX.SG.
Baca juga: