Hon Punca Gajah Liar ‘Serang‘ Kereta Hingga Remuk Di Gerik

GERIK: Sebuah kereta jenis Toyota Vios mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan di Kilometer (KM) 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli – Gerik, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, dalam kejadian sekitar pukul 8.15 malam, pemandu lelaki berusia 39 tahun telah diserang beberapa ekor gajah liar ketika melalui jalan berkenaan.

“Sewaktu tiba di laluan terbabit, pemandu telah nampak sekumpulan gajah sedang melintas di atas jalan raya.

“Pemandu terbabit bertindak memberhentikan kereta dan mematikan lampu serta terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang.

“Tiba-tiba, tiga ekor gajah telah menghampiri kereta dan pemandu terbabit yang berada dalam keadaan panik telah bertindak keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, selepas gajah-gajah berkenaan beredar dari lokasi, mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk membuat aduan pada pukul 11.36 malam.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, belakang serta kedua-dua sisi kanan dan kiri.

“Bagaimanapun, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa antaranya tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi serta mengambil langkah-langkah keselamatan lain apabila berhadapan dengan gajah.

Anda Mungkin Berminat