Hong Kong tawar kerjasama teknologi, sains kepada Malaysia

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Hong Kong menawarkan peluang kerjasama strategik kepada Malaysia dalam bidang teknologi dan inovasi, termasuk pengangkutan canggih dan pembangunan Taman Sains.

Tawaran itu dibuat semasa pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu, di sela-sela Sidang Kemuncak APEC 2024.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai sektor seperti pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat (IT), semikonduktor, khidmat kewangan dan hubungan antara rakyat.

“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia untuk menyokong operasi Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di Kuala Lumpur sebagai usaha mempererat hubungan dua hala,” katanya.

Inisiatif itu dijangka mampu memacu pembangunan ekonomi dan inovasi di kedua-dua wilayah.

Untuk info, lawatan sulung Perdana Menteri ke Peru ini bukan sahaja mengeratkan hubungan diplomatik, malah membuka peluang eksport bernilai RM1.24 bilion.

Lawatan tersebut disertai oleh 16 syarikat Malaysia, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyertai sesi perbincangan meja bulat dengan pemimpin industri Peru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat