PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028 semakin ‘hangat’ apabila Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan pencalonannya untuk merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menerusi audio siar Yang Bakar Menteri (YBM), Rafizi berkata, hak untuk bertanding adalah milik setiap anggota parti termasuk bagi jawatan nombor dua yang kini menjadi tumpuan utama pemilihan kali ini.
“Saya rasa Nurul Izzah ada cukup hujah kenapa dia perlu bertanding dan kita hormati itu.
“Masing-masing ada sumbangan kepada parti,” katanya, malam tadi.
Pencalonan bagi pemilihan PKR kali ini menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden, sementara persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden menjadi pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Rafizi.
Pemilihan PKR kali ini dijangka berlangsung dalam suasana yang penuh semangat dengan Kongres Nasional PKR dijadualkan dari 22 hingga 24 Mei di Johor Bahru, manakala hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.