PETALING JAYA: Pengerusi Biro Kebajikan & Kemasyarakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman berkata, sikap hormat terhadap institusi diraja perlu sentiasa dipelihara dan tidak boleh dijadikan bahan polemik politik yang melampau.
Beliau merujuk kepada kenyataan Tony Pua yang mencetuskan perbincangan awam berkaitan institusi Diraja Selangor, sambil mengingatkan bahawa kedudukan Raja bukan sekadar simbol tradisi tetapi merupakan tonggak kedaulatan negeri serta payung penyatuan rakyat berbilang kaum.
“Sebagai sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan, institusi diraja bukan sekadar simbol tradisi tetapi merupakan tonggak kedaulatan negeri serta payung penyatuan rakyat yang berbilang kaum dan latar belakang.
“Justeru, sebarang kenyataan yang menyentuh institusi ini wajar dibuat dengan penuh tanggungjawab, ketelitian dan kesedaran terhadap implikasinya kepada keharmonian awam,” katanya.
Mohd Shah Rezza berkata, kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada prinsip hormat dan adab khususnya apabila ia melibatkan institusi yang mempunyai kedudukan istimewa dalam kerangka Perlembagaan.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya mengaburi keperluan untuk mengekalkan sensitiviti serta menjaga keharmonian antara institusi negara dan rakyat,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak termasuk Tony Pua, agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan awam yang boleh menimbulkan salah faham atau ketegangan dalam masyarakat.
“Politik yang matang bukan diukur melalui ketajaman retorik semata-mata tetapi melalui kebijaksanaan dalam mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial.
“Awas Tony Pua, jangan jadi kaduk naik junjung! Jangan sentuh garis merah!” tegasnya.
Beliau berharap agar ruang demokrasi negara terus berkembang dalam suasana beradab, berhemah dan menghormati institusi yang menjadi asas kestabilan negara.








