Hormati Perbezaan Demi Kekuatan Malaysia – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan sambutan Tahun Baru Cina sebagai lambang kekuatan negara dalam menghormati kepelbagaian budaya dan memperkukuh semangat kekeluargaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menekankan bahawa perayaan itu bukan sekadar tradisi tetapi ruang untuk memperkukuh kefahaman antara satu sama lain.

“Suasana penuh mesra dengan semangat kekeluargaan ini meyakinkan kita bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan menghormati perbezaan dan menjadikannya ruang untuk memperkukuh kefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Mengaitkan makna simbolik Tahun Kuda, Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai dorongan untuk rakyat terus mara ke hadapan dengan tenaga, ketangkasan dan keberanian melakukan pembaharuan.

“Tahun Kuda membawa makna tenaga, ketangkasan dan kekuatan untuk terus mara ke hadapan.

“Semangat ini wajar menjadi dorongan untuk kita bekerja lebih gigih, berani melakukan pembaharuan dan melangkah dengan keyakinan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar tahun ini membawa prestasi ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan yang adil dan menyeluruh buat seluruh rakyat.

“Mudah-mudahan tahun ini membawa prestasi yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan dan kemakmuran yang lebih adil dan menyeluruh buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat