Hormati Ulama, Tetapi Jangan Lumpuhkan Akal Masyarakat – Dr Maza

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin menegaskan Islam adalah agama yang dibina atas logik dan bukti, bukan sekadar gelaran agama atau pakaian yang dipakai.

Beliau berkata, sebarang pandangan yang dikaitkan dengan Islam tidak sah jika tiada bukti atau fakta yang jelas, walaupun disuarakan oleh ulama atau tokoh terkenal.

“Pendapat sesiapa pun sama ada Mufti, Ustaz atau guru boleh diterima atau ditolak selagi tidak berpandukan Quran dan Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Beliau yang juga senang disapa Dr Maza juga berkata, menghormati pemimpin agama tidak bermakna masyarakat perlu membuta-tuli mengikut setiap kata mereka.

“Pandangan yang jelas bercanggah dengan fakta atau prinsip Islam sebenar wajar dipersoalkan.

“Sesetengah tokoh agama diberi kebebasan bercakap atas nama agama tanpa bukti, sehingga cuba melumpuhkan akal orang ramai agar mengikut tanpa soal.

“Ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya lagi.

Dr Maza turut menekankan bahawa masyarakat perlu mengimbangi hormat terhadap ulama dengan kemampuan berfikir kritis, terutama ketika menilai kandungan agama di media sosial atau perbincangan harian.

“Kita diajar untuk menghormati guru agama, tetapi ini tidak bermakna kita harus mengabaikan akal dan logik yang dianugerahkan Tuhan.

“Sehubungan itu, saya menyeru ibu bapa dan pendidik supaya memperkukuh pendidikan literasi digital dan kefahaman agama kepada generasi muda agar lebih bijak menilai pandangan yang diterima.

“Generasi muda perlu dilatih supaya mampu membezakan antara ajaran Islam sebenar dan pandangan yang dibuat-buat, walaupun dikatakan oleh tokoh agama,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat