Hospital Hang Tuah Jaya Bakal Jadi Hab Kesihatan Selatan, Atasi Kesesakan Hospital Melaka

MELAKA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengorak langkah besar dalam menangani isu kesesakan kritikal di Hospital Melaka dengan merancang pembinaan sebuah hospital baharu di Mukim Durian Tunggal.

Projek strategik itu dijangka menjadi mercu tanda baharu sistem kesihatan negeri, sekali gus memperkukuh ekuiti penjagaan rakyat.

Hospital Melaka kini beroperasi dengan kapasiti 1,143 katil, namun kekangan fizikal bangunan warisan serta unjuran Melaka sebagai negeri menua menjadikan keperluan fasiliti moden semakin mendesak.

“Atas asas itulah, saya hari ini turun meninjau lokasi cadangan projek Hospital Hang Tuah Jaya di Mukim Durian Tunggal,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Hospital Hang Tuah Jaya akan dibina di atas tanah milik KKM seluas 59.8 ekar dengan kapasiti 400 katil.

Kedudukannya yang bersebelahan Pusat Rehabilitasi PERKESO dijangka memperkukuh ekosistem rawatan pasca-akut dan akses pesakit secara menyeluruh.

Lebih signifikan, hospital itu akan diangkat sebagai Centre of Excellence (CoE) pertama di Melaka serta hab kepakaran terawal di Selatan Semenanjung Malaysia.

Fokus utama hospital itu merangkumi perkhidmatan kritikal seperti kardiologi, kardiotorasik, neurosurgeri dan Ambulatory Care Centre (ACC).

Kemudahan berteknologi tinggi itu diyakini mampu menjamin rawatan segera dalam tempoh kritikal atau ‘Golden Hour’, sekali gus mengurangkan kebergantungan kes rujukan ke Hospital Serdang atau Institut Jantung Negara (IJN).

“Prakarsa ini adalah terjemahan tuntas komitmen KKM dalam memastikan setiap fasa perancangan infrastruktur perubatan berjalan seiring dengan keperluan dinamik rakyat.

“Kerajaan MADANI bertekad untuk memperkukuh ekuiti kesihatan melalui pembentukan ekosistem penjagaan yang manusiawi, adil dan saksama demi kesejahteraan segenap lapisan marhaen,” kata Dr Dzulkefly.

Anda Mungkin Berminat