PASIR GUDANG: Akses kepada perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti di Johor bakal dipertingkatkan dengan pembukaan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos 2025.
Projek mega bernilai RM500 juta ini merupakan antara inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan kini menjadi hospital pakar kelapan di negeri Johor.
Dengan kapasiti 304 katil, lapan dewan bedah serta kemudahan rawatan pakar termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Rawatan Rapi Separuh Intensif (HDU), HPG dijangka memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban pesakit di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.
Malah, masa menunggu bagi pembedahan elektif dijangka dapat dikurangkan sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun pertama operasi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu hantaran di Facebook sempena majlis penyerahan hospital daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia, menyifatkan projek ini sebagai satu lagi mercu tanda dalam usaha memperkukuh infrastruktur kesihatan negara.
“Alhamdulillah, hari ini saya menerima serahan rasmi Hospital Pasir Gudang daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia, satu lagi mercu tanda dalam usaha berterusan KKM memperkukuh infrastruktur kesihatan awam negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini termasuk Pasukan Projek Khas 1 JKR, JKR Johor, JKN Johor, Core Team HPG, kontraktor utama serta pasukan teknikal dan perubatan.
“Kita mesti kekalkan iltizam untuk menyiapkan setiap projek awam mengikut jadual, kos dan piawaian kualiti yang ditetapkan,” tambah beliau.
Hospital ini juga mencatat sejarah sebagai fasiliti kesihatan awam pertama di Malaysia yang menyediakan 20 unit bilik ‘on-call suite’ khas untuk doktor, sebagai usaha meningkatkan kebajikan dan moral petugas kesihatan.
Dengan lebih 1,800 jawatan bakal diwujudkan menjelang operasi penuh pada Julai 2026, Hospital Pasir Gudang dijangka menjadi pemangkin kepada sistem kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan mampan di selatan tanah air.