Hospital vertikal PJ: Solusi moden untuk bandar padat

Oleh: Adrian Lim Chee En

ULASAN | Biar kita jelas, tanggungjawab membina hospital merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan manakala tanggungjawab Kerajaan Negeri, persediaan tanah.

Sebuah hospital besar hanya boleh terlaksana, sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama. Dana Kerajaan Persekutuan + Tanah Kerajaan Negeri = Hospital baharu

Sebelum tahun 2018, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak sehaluan. Persekutuan BN (Barisan Nasional), negeri PH (Pakatan Harapan). Pasca tahun 2018 barulah Kerajaan Persekutuan dan Negeri menjadi sehaluan. Kedua-duanya PH.

Namun, ramai terlupa. Hubungan sehaluan ini tidak berkekalan panjang. Langkah Sheraton berlaku pada tahun 2020. Di antara 2020 sehingga 2022, tiga Perdana Menteri dan tiga Menteri Kesihatan datang dan pergi.

Perdana Menteri: Mahathir Mohamad -> Muhyiddin Yassin -> Ismail Sabri

Menteri Kesihatan: Dr Dzulkefly Ahmad -> Dr Adham Baba -> Khairy Jamaluddin

Selangor mempunyai satu Menteri Besar sahaja, tetapi MB ini tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menjatuhkan MB Selangor.

Akan tetapi, Kerajaan Negeri telah bekerjasama di mana mampu. Usaha-usaha membina hospital-hospital baharu tidak dipolitikkan atau disabotaj meskipun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak sehaluan.

Hasilnya, Selangor mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah hospital baharu di bawah MB sedia ada.

HOSPITAL KAPAR – RM830 juta, 312 katil – Diumum tahun 2019, selesai tahun 2026

HOSPITAL CYBERJAYA – RM500 juta, 288 katil – Diumum tahun 2017, selesai tahun 2022

HOSPITAL TANJUNG KARANG – RM280 juta, 150 katil – Diumum tahun 2016, selesai tahun 2022

Ada apa dengan ketiga-tiga hospital ini?

1. Hospital Kapar di Klang menelan kos lebih besar berbanding Hospital Cyberjaya di Sepang

2. Hospital Cyberjaya di Sepang menelan kos lebih besar berbanding Hospital Tanjung Karang di Kuala Selangor.

Sebab apa ini penting diketahui?

Lokasi hospital memainkan peranan besar. Makin dekat dengan kawasan padat dengan penduduk, makin tinggi nilai tanah tapaknya.

Kerajaan Negeri boleh mengguna Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih tanah bagi tujuan membina hospital, tetapi ianya bukan percuma. Pampasan berdasarkan nilai harga pasaran semasa harus diberi kepada pemilik-pemilik tanah.

Tempoh kestabilan politik di mana Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah sehaluan adalah pada tahun 2023 – 2025. Kerajaan Negeri perlu dinilai pada tempoh ini.

Di antara tahun 2023 ke tahun 2025, lebih kurang dua tiga tahun, dua tapak tanah yang cukup besar untuk membina Hospital PJ telah dicadang. Satu di sebelah Lebuhraya LDP, satu lagi di Kota Damansara.

Kedua-dua tapak ini dicadang, diperhalusi dan didapati tidak sesuai kerana kos pengambilalihan tanah cukup tinggi sehingga mengakibatkan kos keseluruhan projek melambung dua kali ganda.

Maka tapak ketiga telah dicadangkan. Tapak ketiga ini berkeluasan 15 ekar. Ianya terletak di tengah-tengah PJ, di Taman Medan, di mana X-Park kini berada.

Kejap. 15 ekar je? Hospital Kapar 50 ekar, Hospital Cyberjaya 13 ekar. Hospital Tanjung Karang 17 ekar. Takkanlah PJ cuma 15 ekar?

Ye. 15 ekar ini nampak kecil jika dibandingkan dengan hospital-hospital besar lain.

Tetapi hospital ini di PJ. PJ merupakan kawasan kedua terpaling padat di seluruh negara. PJ bukan Kuala Selangor, bukan Sepang, pun bukan Klang.

Tanah kosong di tengah-tengah PJ dijual pada harga semasa RM250-300 sekaki persegi.

1 ekar = 43,560 kaki persegi

Maka kos pengambilalihan tanah seluas 15 ekar memerlukan lebih kurang RM200 juta.

43,560 kaki persegi X 15 ekar X RM300 sekaki persegi = RM196 juta

Jika diambil alih, Kerajaan harus memberi pampasan hampir RM200 juta. Untuk tanah saja.

Sekiranya diambil alih tanah seluas 50, 60 ekar seperti di Kapar, maka kos pengambilalihan tanah akan melambung ke hampir RM1 bilion.

RM1 bilion untuk tanah? Ini suatu kebodohan, lebih-lebih lagi dalam keadaan seluruh dunia sedang berdepan dengan krisis ekonomi.

Maka pada akhirnya, pendirian Kerajaan adalah supaya tanah tidak perlu terlalu besar. 15 ekar cukup. Walaupun cuma 15 ekar, ianya akan dibuat bangunan yang tinggi. Hospital vertikal moden, 8 tingkat, 500 buah katil, tanah berkeluasan 15 ekar, di tengah-tengah bandar pesat PJ.


***Penulis adalah aktivis politik dan sentiasa melontarkan pandangannya di media sosial

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat