Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Hiasan perayan selain agama Islam boleh dipasang di mana-mana hotel dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selagi mana ia tidak mengganggu-gugat prinsip Halalan Thoyyiban.
Menerusi kenyataan media pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata tindakan itu turut boleh sekiranya pihak premis mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Kata beliau, keputusan itu dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 2023 dan ianya masih terpakai hingga kini.
“Tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi perayaan agama selain Islam. Namun perlu tertakluk kepada syarat-syarat berikut iaitu tidak menjejaskan prinsip halal toyyiban,” katanya.
Selain itu, ia hanya dibenarkan pada produk makanan yang bersifat tidak kekal serta tidak melibatkan penggunaan peralatan sembahan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sikap saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama merupakan sebahagian daripada identiti masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia.
“Kerjasama erat antara pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri bersama JAKIM serta pemain industri adalah amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah, serta sentiasa mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memelihara kesucian pensijilan halal Malaysia, di samping memperkukuh keharmonian antara agama dan budaya,” ujarnya.
Baca juga:








