KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan golongan peladang, penternak dan nelayan sebagai tunjang utama kedaulatan makanan negara yang perlu terus dibela dan diperkasa.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Sabah, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penganjuran acara berprestij itu.
“HPPNK sangat dekat di hati saya. Saya pernah diberi amanah sebagai Menteri Pertanian pada 1984 hingga 1986, saya faham jerih perih warga tani yang menjadi tunjang sekuriti makanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan komited menjadikan kebajikan golongan agro sebagai keutamaan melalui dasar menyeluruh dan bantuan berkesan di bawah Kerajaan MADANI.
Beliau turut menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, negeri dan agensi berkaitan dalam memajukan sektor pertanian moden dan ekonomi biru.
“Melalui RMK-13, kita mahu sektor agromakanan jadi pemangkin kemajuan luar bandar dan menjamin masa depan negara,” ujarnya.
Anwar menambah bahawa kecekapan pelaksanaan dasar pertanian akan memastikan peladang, penternak dan nelayan terus dihargai bukan sahaja sebagai penyumbang ekonomi, tetapi juga sebagai nadi kekuatan negara.
Untuk info, HPPNK 2025 diadakan di Kota Kinabalu sebagai platform tahunan untuk menghargai peranan golongan agro dengan mengambil kira potensi besar Sabah dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan.








