PETALING JAYA: Pihak pengurusan Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) menjalankan siasatan susulan aduan mengenai caj bayaran rawatan di fasiliti kerajaan itu.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati pesakit telah dibawa ke Jabatan Kecemasan HSIJB untuk mendapatkan rawatan, namun waris gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, petugas di kaunter mengenakan caj sebanyak RM100 disebabkan kegagalan waris mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan tiada caj sebanyak RM2,000 dikenakan seperti yang didakwa oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dr Mohtar berkata, HSIJB membuat rujukan kepada Garis Panduan Pengurusan Kutipan Hasil, Tunggakan dan Hapus Kira Di Fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) bertarikh 5 April 2019.
Menurut garis panduan tersebut, katanya, pesakit warganegara Malaysia diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti Kad Pengenalan, MyKid atau Sijil Kelahiran bagi tujuan pendaftaran dan caj pesakit.
“Pihak hospital memberi jaminan bahawa perkhidmatan perawatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Sebarang kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amatlah dikesali,” katanya.
Terdahulu, seorang individu membuat aduan di laman Facebook Komuniti Kota Masai dengan mendakwa HSIJB mengenakan caj rawatan sehingga RM2,000.
Hantaran tersebut kemudian tular sebelum dipadam oleh pemiliknya selepas menerima kecaman ramai.