Perkenal Undang-Undang Baharu Untuk AI – PM

KUALA LUMPUR: Satu undang-undang baharu diperlukan bagi membolehkan teknologi kecerdasan buatan (AI) beroperasi dengan lebih bebas dan efektif tanpa terlalu terikat kepada kerangka perundangan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep lama kedaulatan tidak lagi sesuai dalam era digital berasaskan AI yang memerlukan pendekatan dan pemikiran baharu.

“AI kini meresap ke dalam hampir setiap aspek kehidupan termasuk tadbir urus. Pemimpin hari ini tidak ada pilihan selain memahami serta menguasai teknologi ini secara mendalam.

“Jika kita mahu menggunapakai AI, maka kita tidak boleh memikirkan kedaulatan dalam bentuk pemikiran lama.

“Dalam konteks keselamatan, kita benarkan ruang digital beroperasi dengan kebebasan tertentu, namun tetap dalam kerangka kawalan sempadan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sesi Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bertemakan “The Intelligent Grid: Building Bridges Through Sovereign AI Collaboration” anjuran Fortune pada Rabu.

Sesi itu turut disertai Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao, manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai moderator.

Anda Mungkin Berminat