Hubungan ASEAN-GCC Pemacu Utama Kerjasama Serantau – PM

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan erat antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) adalah kunci dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi menghadapi cabaran global semasa.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata, hubungan kukuh antara kedua-dua blok bukan sahaja memperkuat daya tahan serantau tetapi juga menjamin kemakmuran jangka panjang rakyat.

“Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua hari ini adalah medan penting untuk menegaskan semula cita-cita kolektif kita dan menterjemahkannya kepada kerjasama yang konkrit dan berimpak,” katanya dalam ucapan pembukaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beliau menyifatkan ASEAN dan GCC sebagai dua kuasa utama yang mampu menjadi “sauh kestabilan” serta pemangkin kepada pertumbuhan masa depan.

Sidang kemuncak kali ini turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi ASEAN dan GCC termasuk wakil dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Bahrain dan Oman.

Kehadiran mereka, menurut Anwar, mencerminkan kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara kedua-dua blok.

Beliau turut berkongsi bahawa GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN pada tahun 2023 dengan nilai perdagangan mencecah AS$130.7 bilion selain peningkatan positif dalam pelaburan dari rantau Teluk.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi sidang penting turut berlangsung hari ini, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China buat kali pertama, menandakan perluasan hubungan strategik tiga hala yang berpotensi besar.

Anda Mungkin Berminat