PONDOK TANJUNG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melancarkan Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Pondok Tanjung, sebuah inisiatif yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam usaha memacu kemajuan industri tenusu negara.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan terhadap potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam sektor pertanian dan tenusu berlandaskan kekayaan sumber serta hubungan erat dengan rakan serantau.
“Malaysia merupakan negara yang bertuah bukan sahaja kaya dengan sumber tetapi turut menikmati hubungan erat dengan rakan-rakan serantau khususnya ASEAN lantas membuka ruang kerjasama luas dalam pelbagai bidang seperti pertanian dan tenusu, berasaskan keyakinan serta kepercayaan rakan industri serantau,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan sektor tenusu bergantung kepada kesiapsiagaan sektor swasta, semangat kental usahawan tempatan serta penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Pendekatan ini mempertingkatkan produktiviti, mengukuhkan rantaian nilai industri tenusu dan memacu inovasi pertanian moden,” katanya.
Melalui kerangka Ekonomi MADANI, kerajaan bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) dan sektor swasta akan terus memperluas peluang ekonomi wilayah, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, mengukuhkan kedudukan usahawan tempatan serta memastikan hasil pembangunan dinikmati oleh rakyat.
Sebagai tanda komitmen segera, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja infrastruktur mendesak di kawasan Daerah Larut, Matang dan Selama.








