Hujah Pengkalan Chepa Terhadap Penjenamaan Semula TH Bersifat Dangkal – Mujahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden AMANAH merangkap Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa penjenamaan semula (re-branding) Tabung Haji (TH) adalah usaha penting untuk memastikan institusi itu kekal relevan dalam pengurusan haji, bukan isu yang harus dipolitikkan dengan sentimen dangkal.

Menurut beliau, Tabung Haji sejak ditubuhkan melalui pelbagai fasa penjenamaan dengan tujuan mengurus jemaah haji secara menyeluruh termasuk soal kos, logistik dan kebajikan.

Katanya, menimbulkan isu syarikat bukan Islam dalam urusan khidmat kepakaran hanyalah usaha membangkitkan kemarahan umat tanpa asas syarak.

“Apakah salah Tabung Haji mengambil khidmat bukan Islam yang ada kepakaran dalam bidang penjenamaan semula?

“Yang menentukan hala tuju Tabung Haji adalah Pengerusi, Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan beragama Islam yang diyakini amanah.

“Bukan YB Pengkalan Chepa yang boleh sesuka hati menentukan hukum syarak,” tegas beliau.

Dr Mujahid menjelaskan, dalam muamalat Islam asas hukumnya adalah harus selagi tiada dalil pengharaman, malah pengambilan kepakaran bukan Islam hanya dilarang jika membawa kepada penghinaan atau kerosakan terhadap Islam.

Selagi ia mendatangkan maslahah, penggunaannya diharuskan.

Beliau turut menegaskan bahawa tujuan penjenamaan semula adalah untuk meningkatkan kesedaran pendeposit agar menabung dengan lebih konsisten.

Statistik menunjukkan 53 peratus pendeposit hanya memiliki baki sekitar RM1,300 iaitu jumlah yang tidak melayakkan mereka menunaikan haji walaupun giliran sudah tiba, sedangkan kos sebenar ibadah haji kini mencecah lebih RM30,000.

“Matlamat besar Tabung Haji ialah memastikan umat Islam yang menabung mampu menunaikan haji bila tiba gilirannya.

“Inilah maslahat besar yang tidak difahami oleh YB Pengkalan Chepa,” katanya.

Beliau turut menyeru para mufti supaya menyatakan pandangan jelas berdasarkan hukum muamalat agar polemik tidak produktif ini dapat dihentikan segera.

“Retorik berasaskan sentimen hanya akan membawa umat Islam ke belakang dan menjadikan orang awam mangsa permainan politik yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat