Hujan lebat tidak patahkan semangat ribuan peserta Himpunan Global Sumud

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua Himpunan Global Sumud Flotilla kekal menggegarkan kawasan berhampiran Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Walaupun hujan yang agak lebat, ribuan peserta masih cekal memenuhi sepanjang jalan menuju ke kedutaan AS sejurus menunaikan solat Jumaat daripada Bangunan Lembaga Tabung Haji.

Suasana pada awalnya, berlangsung dengan tenang dan aman serta diselangi dengan beberapa ucapan daripada para pemimpin blok pembangkang seperti Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid, Aktivis dan bekas Ahli Parlimen Tian Chua.

Rata-rata ucapan oleh pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Israel yang rakus memintas dan menahan secara haram ke atas 23 rakyat Malaysia yang kini berada di pusat tahanan Israel di Pelabuhan Ashdod.

Malah ada yang menyatakan bantahan terhadap jemputa Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan ini.

Himpunan turut digemakan dengan pelbagai slogan yang menyuarakan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin.

Antara laungan yang bergema ialah “Bebas-Bebas Palestin”, “Bebaskan Para Palestin”, “Bebaskan Sukarelawan Malaysia,”.

Dalam pada itu, kebencian terhadap Israel turut dizahirkan melalui laungan keras seperti.

“Musnah-musnah Israel”, “Israel Bangsat”, “Israel Bacul ”,” laung para peserta himpunan.

Selain slogan, suasana turut diselubungi dengan dengan bacaan doa qunut nazilah dan pelbagai lagi barisan doa sebagai salah satu ikhtiar rakyat Malaysia buat Palestin dan rakyat Malaysia yang kini ditahan oleh rejim haram Israel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat