Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN: Hukuman denda RM250,000 yang dikenakan ke atas syarikat Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd. (MBNS) tidak wajar dilihat sebagai ketidakadilan dalam proses menegakan undang-undang.
Serangan berasaskan sentimen keagamaan dan kaum dalam isu ini wajar dielak dan sepatutnya tidak berlaku jika dirujuk dan bersandarkan kepada fakta yang betul dan tepat.
Ketepatan fakta tanpa disalut dengan sentimen kebencian agama dan kaum mampu menjauhkan negara ini kembali terjebak dalam kancah perkauman.
Jangan sesekali bermain api perkauman, cukuplah tragedi 13 Mei 1969 sebagai titik akhir kepada semua permasalahan ini.
Isu ini juga memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mempergunakan naratif perkauman demi kepentingan politik.
Jangan sesekali menggunakan ketidakpuasan hati terhadap isu ini untuk menggugat keharmonian sosial dengan menyebarkan retorik yang bersifat perkauman atau agama, yang dapat memperburuk lagi perpecahan dalam masyarakat.
Untuk itu, bagi mengelak salah faham ini menjadi lebih besar, penjelasan berikut diharap dapat menjernihkan suasana sempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Persoalan netizen, mengapa Maestra Broadcast Sdn Bhd (Era FM) didenda RM250,000, tetapi Harith Iskander dan Cecilia Yap hanya RM10,000.
Jawapannya, sepertimana yang dijelaskan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM, dikenakan denda RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana menyiarkan kandungan yang mempersendakan agama Hindu.
Denda ini dikenakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas pindaan undang-undang yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Pindaan ini telah meningkatkan hukuman kepada denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga dua tahun.
Ini menjawab mengapa Harith Iskander dan Cecilia Yap hanya dikenakan kompaun RM10,000.
Faktanya Harith Iskander dan Cecilia Yap memuat naik kandungan dan komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025.
Kesalahan sebelum pindaan ini menjelaskan bahawa denda maksimum sebanyak RM50,00 dan penjara maksimum satu tahun sahaja.
Jika kesalahan ini berlaku selepas 11 Februari 2025, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara 2 tahun.
Perlu juga diingat bahawa jenis kesalahan dan kesan jika membabitkan individu dan juga organisasi yang berpengaruh.
Astro bertanggungjawab ke atas siaran radio nasional, yang boleh didengar oleh berjuta pendengar di seluruh negara.
Harith dan Cecilia hanya memuat naik di media sosial peribadi, yang mempunyai skop penyebaran lebih kecil.

Hukuman sebagai mendidik
Berkenaan tindakan selanjutnya terhadap tiga penyampai radio terlibat, adalah lebih tepat perkara tersebut diserahkan kepada syarikat yang terlibat.
Secara prinsip, walaupun denda dikenakan kepada Maestra Broadcast sebagai syarikat penyiaran, individu seperti penyampai radio yang terlibat masih boleh dikenakan tindakan dalaman oleh majikan atau siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Untuk perkara ini, tentunya setiap syarikat ada polisi-polisi yang tersendiri dalam menangani masalah disiplin kaki tangan mereka.
Tetapi pengajaran yang paling besar adalah syarikat perlu mengawal kandungan lebih ketat untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang.
Disamping itu, pihak syarikat perlu menyediakan latihan kepada kakitangan supaya mereka faham sensitiviti budaya dan agama.
Perlu ditegaskan, sentimen perkauman dan agama yang timbul boleh merosakkan usaha perpaduan nasional.
Malaysia, sebagai negara majmuk, sudah lama berusaha untuk membina keharmonian dan perpaduan antara masyarakat yang pelbagai latar belakang etnik dan agama.
Namun, isu seperti ini, jika tidak ditangani dengan bijaksana, berpotensi untuk meretakkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama, yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.
Jangan manipulasi kebebasan media
Perlu diingatkan bahawa semua pihak agar tidak memanipulasi kebebasan media yang ada di negara ini.
Anggaplah, denda yang dikenakan pada Era FM mungkin bertujuan untuk menegakkan norma-norma media yang lebih sensitif dan bertanggung jawab.
Dalam hal ini, denda besar perlu menjadi pembelajaran bagi industri penyiaran agar lebih berhati-hati dalam memilih dan menyiarkan konten, tanpa mengurangi kebebasan ekspresi mereka.
Denda yang besar ini menunjukkan ketegasan pihak berwajib dalam menegakkan undang-undang.
Ia memberi amaran keras kepada pihak media dan penyiaran bahawa mereka perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan kandungan yang disiarkan, agar tidak melanggar peraturan atau norma yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Netizen cipta kesedaran awam
Tidak dinafikan bahawa kebebasan dalam media baharu sangat sukar untuk dikawal secara mutlak.
Golongan netizen boleh memberi pendapat dan menyahut isu-isu yang berada di sekeliling mereka untuk ditularkan.
Bagaimanapun penularan terhadap sesuatu isu itu perlu berlandaskan kepada fakta dan tidak melanggar undang-undang yang disepakati di negara ini.
Peranan netizen dalam isu seperti perbezaan denda terhadap Era FM dan kes penghinaan terhadap agama sangat besar, kerana media sosial dan platform dalam talian memberi mereka kuasa untuk mempengaruhi pendapat awam, mencipta kesedaran, dan memulakan perbincangan dalam kalangan masyarakat.
Namun, peranan mereka juga boleh membawa kesan positif atau negatif bergantung kepada cara isu ini ditangani.
Netizen boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran tentang keadilan hukum dan kepentingan penegakan undang-undang yang konsisten.
Dengan berkongsi maklumat yang tepat, mereka dapat memandu masyarakat tentang isu tersebut dan menjelaskan konteks di sebalik keputusan-keputusan yang diambil oleh pihak berwajib.
Ini membantu mengurangkan kekeliruan dan membentuk pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan orang ramai.
Netizen perlu menjadi suara perpaduan dengan menggalakkan dialog yang membina antara agama dan etnik.
Mereka boleh menyalurkan pandangan yang lebih positif, menggalakkan toleransi, dan menghormati sensitiviti agama dan budaya orang lain.
Dengan menggunakan platform mereka, netizen dapat menentang naratif perkauman dan mengurangkan ketegangan yang timbul akibat isu ini.
Perlu diingatkan penggunaan bahasa yang kasar atau penyebaran pandangan yang melampau boleh memperburuk ketegangan sosial dan menyebabkan polarisasi antara kelompok masyarakat, terutama dalam isu yang melibatkan agama.
Kesimpulannya, netizen memegang peranan yang sangat penting dalam isu ini kerana mereka bukan sahaja membentuk pendapat umum, tetapi juga dapat mempengaruhi perubahan dalam masyarakat melalui platform dalam talian.
Bagaimanapun, dengan kuasa besar ini datang tanggungjawab besar. Netizen perlu bijak dan bertanggung jawab dalam cara mereka menyuarakan pendapat dan mengendalikan isu yang sensitif, agar tidak memperburuk keadaan tetapi sebaliknya membantu membina masyarakat yang lebih adil dan harmoni.
Kerajaan sudah menjalankan tanggungjawabnya, kini giliran netizen menyebarkan perkara yang sahih dan benar.
***Penulis adalah Ketua Pengarang Malaysia Bangkit
Baca juga: