PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, kekal dipenjara enam tahun dan didenda RM15.45 juta berhubung sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd Isa oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2024. Dengan keputusan ini, Mohd Isa, 77, dibawa terus ke Penjara Sungai Buloh.
“Kami mendapati dapatan hakim bicara adalah betul dan disokong oleh keterangan serta selaras undang-undang. Responden gagal menangkis anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM, maka elemen pertuduhan berhubung pembelian hotel telah dibuktikan melepasi keraguan munasabah.
“Rasuah adalah perbuatan keji yang boleh memusnahkan sesebuah negara. Hukuman penjara dan denda dikekalkan, dan responden diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua tahun bagi setiap tuduhan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Mohd Isa sebelum ini dilepas oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2024, selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah RM3.09 juta.
Beliau didakwa menerima suapan melalui bekas pegawai khasnya daripada bekas ahli lembaga pengarah GAPSB bagi meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd pada harga RM160 juta antara Julai 2014 hingga Disember 2015.
Baca juga:








