PARLIMEN | Kerajaan MADANI memperkukuh jaringan perlindungan sosial rakyat melalui pelbagai insentif baharu dan penambahbaikan skim sedia ada dengan tumpuan kepada golongan bekerja sendiri, pekerja gig dan ibu rumah tangga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, skim i-Saraan Plus diperkenal bagi menggalakkan lebih ramai pekerja gig, e-hailing dan p-hailing mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Melalui skim ini, kerajaan akan memberi insentif padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup, manakala skim i-Saraan sedia ada dikekalkan untuk pekerja informal dengan padanan sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.
Dalam masa sama, pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 turut memperkukuh perlindungan sosial apabila kerajaan bersetuju menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi pekerja gig yang pertama kali mendaftar serta insentif 50 peratus bagi tahun kedua.
“Bagi membantu golongan muda memasuki alam pekerjaan, PERKESO akan memberi insentif sehingga RM1,000 kepada pencari kerja atau graduan baharu yang perlu berpindah lokasi untuk menerima tawaran kerja,” katanya.
Dalam langkah memperkasa kaum ibu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun, sejajar dengan usia persaraan minimum negara.
PERKESO turut memperluas kemudahan rawatan dan pemulihan dengan pembinaan pusat rehabilitasi baharu di Pulau Pinang, melengkapkan rangkaian sedia ada di Melaka, Perak dan Terengganu serta meningkatkan kadar maksimum rawatan hemodialisis daripada RM150 kepada RM170, melibatkan tambahan kos sebanyak RM52 juta setahun.
Langkah-langkah ini menggambarkan pendekatan inklusif kerajaan dalam memastikan setiap lapisan rakyat daripada pekerja gig hingga ibu suri rumah dilindungi di bawah sistem keselamatan sosial negara.








