KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar lebih berwaspada terhadap keselamatan kanak-kanak khususnya ketika musim perayaan.
Gesaan itu dibuat susulan insiden tular baru-baru ini melibatkan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di tandas sebuah masjid.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki menyifatkan insiden tersebut sebagai amat mendukacitakan dan menzahirkan simpati terhadap tekanan emosi yang dialami mangsa serta keluarganya.
“Perkara ini sedang dalam siasatan pihak polis dan kami memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia.
“Diharapkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan pelaku akan dibawa ke muka pengadilan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, tiada lokasi boleh dianggap sepenuhnya selamat untuk kanak-kanak tanpa pengawasan dan perlindungan mencukupi termasuk di tempat ibadah.
“Pelaku jenayah seksual kanak-kanak boleh mengambil kesempatan apabila kanak-kanak dibiarkan tanpa pengawasan, tanpa mengira lokasi,” tambahnya.
Dr Farah turut menggesa ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa menemani anak-anak terutamanya di ruang awam yang sesak atau ketika menggunakan tandas serta memastikan mereka tidak bergerak jauh daripada kawasan jemaah.
SUHAKAM juga menekankan kepentingan sistem pengawasan seperti CCTV yang berfungsi sepenuhnya, selain peringatan keselamatan berkala oleh pihak pengurusan masjid.
“Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran berterusan, usaha kolektif dan toleransi sifar terhadap sebarang bentuk penderaan,” ujarnya.








