Pihak polis telah menerima aduan pada Rabu lalu daripada seorang wanita berumur 20 tahun yang dipercayai telah dirogol oleh bapa kandungnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 ketika mangsa berusia 12 tahun sehingga kejadian terbaru pada tahun 2024.
“Berdasarkan siasatan awal juga, kejadian sumbang mahram itu berlaku di dalam bilik rumahnya di Kampung Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Dalam pada itu, mangsa pernah menceritakan kepada ibu kandungnya namun tidak diendahkan walaupun mangsa telah melahirkan dua orang anak.
“Tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki dan seorang wanita tempatan pada 3 Mei 2024 lebih kurang pukul 11.40 pagi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan.
Aidi Sham berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah narkotik.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan tahanan reman telah dibenarkan selama lima hari bermula 4 hingga 8 Mei 2024.
“Kes juga disiasat dibawah Seksyen 376B kerana sumbang mahram yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta dikenakan sebatan,” katanya.
Baca juga: