PETALING JAYA: Menyalahkan Kementerian Pendidikan (KPM) semata-mata berhubung insiden tragik di sekolah tidak akan menyelesaikan masalah, kata Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut beliau, tragedi yang berlaku melibatkan pelajar bukan sekadar isu pendidikan, tetapi mencerminkan masalah sosial yang lebih besar dalam masyarakat hari ini.
Rafizi berkata, setiap pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam membentuk persekitaran sihat kepada generasi muda.
“Menghentam KPM dan menterinya mungkin melepaskan geram, tetapi ia bukan penyelesaian. Ini isu masyarakat. Sebelum salahkan sekolah, ibu bapa perlu cermin diri, berapa banyak masa kita luangkan dengan anak-anak, dan sejauh mana sikap kita mempengaruhi mereka tanpa sedar,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Beliau mengulas susulan beberapa kes tragik membabitkan pelajar baru-baru ini, termasuk kes pelajar perempuan maut ditikam serta kes rogol beramai-ramai yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan di sekolah.
Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada isu berkenaan termasuklah tekanan ekonomi yang menyebabkan ibu bapa tidak dapat meluangkan masa mencukupi bersama anak-anak.
“Masalah ini berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kesibukan ibu bapa mencari rezeki hingga kurang masa bersama anak-anak. Tanggungjawab mendidik kini banyak diserahkan kepada guru,” katanya.
Rafizi turut menasihatkan masyarakat agar tidak terburu-buru menghukum mana-mana pihak tanpa maklumat lengkap, sebaliknya menilai isu secara menyeluruh.
“Masyarakat kita sekarang lebih kasar, cepat menuduh dan mempercayai sesuatu sebelum disemak. Ini lambang kepada keadaan sosial kita,” katanya lagi.
Beliau berpandangan, masalah sosial dalam kalangan remaja perlu ditangani melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan ibu bapa, komuniti, serta agensi kerajaan, bukan sekadar tindakan disiplin di sekolah.
Dalam masa sama, Rafizi turut menegur cadangan untuk menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur tanpa data yang kukuh.
Katanya, langkah terburu-buru seperti itu tidak akan menyelesaikan akar masalah jika punca sebenar tidak dikenal pasti dan ditangani dengan betul.
Baca juga:







